Thursday, June 15, 2017

Kelayakan Piala Asia 2019 - Malaysia (1) Lubnan (2)



Tewas 1-2 kepada Lubnan di tempat sendiri... apa-apa pun, tahniah Malaysia! Walaupun tewas, namun nampak semangat juang yang tinggi dan juga corak permainan berani menyerang pihak lawan adalah satu tanda positif. Move on..... itu saja yang boleh dikatakan.

Serba-serbi adalah baru bagi pasukan kebangsaan Malaysia, bermula dari pucuk pimpinan FAM yang baru dikendalikan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ), jurulatih kebangsaan baru, Nelo Vingada dari Portugal yang pernah menjadi pembantu Carlos Queiroz satu ketika dahulu dan juga pembantu jurulatih Tan Cheng Hoe, bekas jurulatih Kedah.

Viganda dan Queiroz ikon jurulatih bolasepak Portugal

Ini adalah perlawanan pertama Malaysia untuk kempen kelayakan Piala Asia 2019 setelah perlawanan dengan Korea Utara tempoh hari ditangguhkan akibat isu diplomatik. Presiden FAM juga berhasrat untuk mengadakan perlawanan antarabangsa di stadium pilihan seluruh negara bermula dengan Stadium Larkin menentang Lubnan.

Baca : Kenali lawan Malaysia dalam Kelayakan Piala Asia 2019


Pasukan Lubnan turun tanpa Mohammed Ghaddar yang minta untuk tidak diturunkan menentang Malaysia akibat masalah dalaman. Bekas penyerang remaja USA, Hassan Ali Saad (Soony Saad) mengetuai jentera serangan sambil dibantu ketua pasukan Hassan Maatouk. Bekas pemain import Felda United, Mootaz Junaidi mengetuai bahagian pertahanan. Di bahagian tengah pula, bekas pemain remaja Bulgaria, Samir Ayass kerap kali membuat gerakan dan percubaan berbahaya.

Soony Saad - penyerang utama Sporting KC di Liga Amerika Syarikat

Samir Ayass (kanan) menghalang kemaraan ketua pasukan Ludogorets di Liga Bulgaria

Seperti biasa pasukan dari Timur Tengah memang terkenal dengan kepantasan larian mereka terutama sekali ketika membuat serangan mengejut dan juga serangan balas. Namun, pasukan negara terlebih dahulu membuat kejutan dengan mendahului 1-0 pada separuh masa pertama. 

Bermula dengan gerakan Syazwan Zainon dari kiri membuat hantaran lintang yang gagal disambut Hazwan Bakri. Penjaga gol Lubnan pula gagal menangkap kemas bola dan Mahali Jasuli dengan tenang memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol.

Mahali Jasuli kembali ke skuad kebangsaan dengan jaringan gol

Separuh masa kedua, pasukan Lubnan membuat keputusan drastik setelah ketinggalan 0-1 dengan mengeluarkan pemain tengah Mohamad Haidar dan memasukkan pemain sayap menyerang, Rabih Ataya. Gagal menjaringkan gol, Lubnan mengeluarkan Hassan Ali Saad dan memasukkan penyerang muda, Hilal El-Helwe yang pernah bermain untuk pasukan simpanan Wolfsburg di Liga Jerman. Masih lagi gagal menjaringkan gol, Lubnan menukar formasi kepada serangan dengan mengeluarkan Mootaz Junaidi dan memasukkan penyerang import baru Kelantan, Abou Bakr Al Mel.

Hilal El-Helwe

Semuanya nampak bakal memihak kepada pasukan negara sehinggalah pada 10 minit terakhir. Bermula dengan satu sepakan percuma akibat kekasaran Amri Yahyah kepada pemain lawan. Amri gagal untuk "track back" Rabih Ataya yang membuat larian di tepi padang dan terus menyepak masuk bola ke dalam gawang dari tepi padang yang sama sekali mengelirukan Azhan.

Pada masa kecederaan pula sekali lagi Amri diperdaya oleh larian mengelirukan Rabih Ataya yang bijak memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol kemenangan Lubnan dan seterusnya mengutip 3 mata penuh yang sangat berharga. Rabih Ataya ialah pemain sayap kelab Zob Ahan (Iran) yang menduduki tangga ke-4 liga bolasepak Iran.

Segala-galanya belum berakhir buat pasukan negara kerana ada 5 perlawanan lagi yang akan berakhir pada bulan Mac 2018. Lagipun juara dan naib juara kumpulan ini akan layak ke Piala Asia 2019 pada bulan Januari di UAE.

Ayuh... Ayuh Malaysiaku!


No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda Amat Dihargai :)

Menarik Untuk Dibaca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...